FRANKFURT – Status sebagai pasukan pilihan langsung tidak memberi kelebihan buat Belgium apabila tewas 0-1 kepada Slovakia pada aksi Kumpulan E saingan Euro 2024 di Deutsche Bank Park, Frankfurt awal pagi semalam.
Meskipun menguasai sepenuhnya perlawanan selain mencipta banyak peluang, namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Romelu Lukaku menyaksikan mereka gagal mencatat kemenangan pertama.
Ketua Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco ternyata tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya, terutamanya dari segi penyudah yang menyebabkan mereka kempunan meraih tiga mata.
“Satu-satunya punca kami tewas hari ini (semalam) adalah disebabkan kegagalan pemain untuk memanfaatkan setiap peluang yang terhidang. Kami ada banyak peluang menjaringkan gol tetapi disia-siakan.
“Saya tahu pemain-pemain juga kecewa kerana kami tidak sepatutnya tewas pada perlawanan seperti ini. Kekalahan ini sangat menyakitkan dan memberi tamparan hebat kami sebagai satu pasukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Slovakia memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi jaringan Ivan Schranz seawal minit ketujuh dan berjaya mempertahankan kedudukan tersebut hingga tamat perlawanan.
“Kami juga menerima beberapa keputusan pengadil pada perlawanan ini. Saya beri kepercayaan 100 peratus kepada pengadil kerana saya percaya kami tewas dengan cara yang cukup adil,” ujar Tedesco. – AGENSI