N’DJAMENA, CHAD – Satu kebakaran meletus lewat semalam di sebuah depoh peluru tentera yang besar di bandar ibu kota Chad, N’Djamena, menyebabkan letupan menjulang naik ke udara.
Letupan di kawasan Goudji itu turut didengari beberapa kilometer dari lokasi kejadian, kata wartawan AFP sambil menambah, projektil menjadikan langit bertukar merah dan hitam.
“Bumbung rumah kami diterbangkan oleh salah satu letupan,” kata seorang penduduk, Kadidja Dakou, yang tinggal berhampiran Goudji.
Wanita berusia 36 tahun itu dan tiga anaknya berlindung di jalan bersama beberapa jiran kerana bimbang rumah mereka akan runtuh.
Sementara itu, Presiden Mahamat Idriss Deby Itno berkata, orang ramai terbunuh dan cedera dalam kebakaran itu tanpa memberikan angka yang tepat.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga yang bersedih dan semoga mereka yang cedera cepat sembuh,” tulis Deby di laman Facebook sambil berjanji untuk membuka siasatan terhadap kebakaran itu.
Sementara itu, Menteri Luar, Abderaman Koulamlah yang juga jurucakap kerajaan berkata, berlakunya letupan besar di tapak tersebut selain beliau menggesa penduduk supaya bertenang.
Terdapat beberapa rumah di kawasan kejiranan yang menempatkan depoh itu.
Ia terletak berhampiran sebuah lapangan terbang antarabangsa dan pangkalan di mana tentera Perancis ditempatkan. – AFP