PETALING JAYA – Pengumuman kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Ammar Nik Abdullah menunjukan pindaan perlembagaan Bersatu adalah teratur dan mengikut undang-undang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kekosongan tersebut berlaku susulan notis yang dihantar oleh Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri dari parti tersebut secara serta-merta kerana telah melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.
“Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang antilompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kekosongan luar jangka yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan ini menunjukkan bahawa pindaan perlembagaan Bersatu mengenai antilompat parti dan notis terhenti keahlian parti secara serta-merta yang dikeluarkan kepada wakil-wakil rakyat yang berkenaan adalah teratur dan mengikut kehendak undang-undang,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Bersatu bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut jika diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas ini.
“Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan dokongan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.