MEKAH – Seorang rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand menikmati suasana haji berbeza apabila berpeluang menjejak kaki ke Tanah Suci dari negara minoriti beragama Islam.
Di New Zealand kuota haji hanya 100 hingga 150 sahaja yang memerlukan rakyat negara itu bersaing untuk bergelar duyufurrahman.
Bagi Khairul Noramin Mohd. Nor, 49, yang berstatus penduduk tetap New Zealand itu, suasana mengerjakan haji agak berbeza dengan rakyat Malaysia lain.
“Kuota di New Zealand tidak lebih 200 orang sahaja setiap musim haji dan siapa yang naik nama memang bersyukur sangat, kami di sini juga tiada cuti untuk buat haji.
“Kena kumpul cuti tahun selama 14 hari dengan kos ke Mekah antara NS$18,000 (RM52,000) sehingga NS$28,000 (RM80,000).Jadi bayangkan bagaimana sukarnya untuk menunaikan haji di bagi umat Islam di sana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dia bekerja sebagai pengurus teknikal di salah sebuah syarikat pensijilan halal sudah menetap lama di New Zealand.
Tambah Khairul Noramin lagi, penduduk di negara berkenaan juga tidak diberikan cuti khusus untuk mengerjakan haji sebagaimana mereka yang bekerja di Malaysia.
Menurutnya, dia menggunakan cuti tahunan yang dikumpul sejak tahun lepas untuk menunaikan haji tahun ini.
“Mujur syarikat tempat saya bekerja dimiliki individu beragama Islam. Jadi lebih mudah kalau mahu dibandingkan dengan syarikat lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE