PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China, Li Qiang di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, majlis mengadap Seri Paduka Baginda berlangsung di Dewan Seri Mahkota, Istana Negara hari ini.
“Pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama Li Qiang berlangsung selama hampir 30 minit.
“Majlis mengadap dan lawatan TYT Li Qiang adalah bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir pada sesi menghadap itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.
Terdahulu, Qiang tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi hingga esok dan itu adalah kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac 2023. – KOSMO! ONLINE