fbpx

200 ditahan bantah kenaikan cukai di Kenya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melarikan diri daripada gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis di Nairobi kelmarin. - AFP

NAIROBI – Lebih 200 penunjuk perasaan ditangkap di ibu negara Kenya, Nairobi dalam bantahan berterusan terhadap cadangan kerajaan untuk menaikkan cukai yang akan dibentangkan di Parlimen, lapor laman berita Fox News.

Kumpulan masyarakat sivil berkata, demonstrasi dan rancangan untuk melakukan bantahan secara duduk di luar bangunan Parlimen akan diteruskan walaupun seramai 210 penunjuk perasaan telah ditahan.

Ketua Polis Nairobi, Adamson Bungei berkata, tiada kumpulan diberikan kebenaran untuk melakukan bantahan di ibu negara itu. 

Hak untuk memprotes secara aman dijamin dalam Perlembagaan Kenya tetapi penganjur tunjuk perasaan dikehendaki meminta kebenaran daripada polis terlebih dahulu. 

Polis secara amnya memberi kebenaran terhadap tunjuk perasaan melainkan terdapat kebimbangan mengenai keselamatan.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah ratusan penunjuk perasaan semalam sehingga memaksa perniagaan ditutup buat sementara waktu kerana kebimbangan berlakunya rompakan.

Seorang peguam, Wanjohi Gachie berkata, beliau menyertai protes bagi pihak semua rakyat Kenya yang mungkin akan dibebani dengan kenaikan cukai.

“Saya meminta polis untuk tidak menangkap atau memukul kami kerana kami juga memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Beberapa cadangan cukai utama dalam rang undang-undang tersebut telah digugurkan selepas mesyuarat pada pagi semalam antara wakil rakyat parti pemerintah dengan Presiden William Ruto. 

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Kuria Kimani berkata, cadangan untuk memperkenalkan cukai nilai tambah 16 peratus ke atas roti digugurkan.

Levi lain yang telah mencetuskan perdebatan dan telah dipinda termasuk cadangan cukai tahunan kenderaan bermotor sebanyak 2.5 peratus yang akan dikenakan ke atas insurans. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI