‘PETALING JAYA – Pasangan ‘vlogger’ dari Taiwan tersentuh dengan sikap murni penduduk Sabah selepas mereka dibantu sewaktu motosikal dinaiki mengalami kerosakan di sebuah jalan sunyi.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman YouTube, Zoebitalk baru-baru ini, pasangan vlogger terbabit dalam perjalanan dari Sabah ke Brunei dengan anggaran jarak 450 kilometer.
Katanya, semasa melalui kawasan pergunungan terpencil, mereka menghadapi situasi cemas apabila motosikal mengalami tayar pancit secara tiba-tiba.
“Selepas menunggu lama, sebuah trak pikap dipandu penduduk Sabah muncul di jalan tersebut dan turut menawarkan bantuan.
“Mengapa mereka mahu membantu saya? Mengapa mereka mahu membantu saya? Saya hampir menangis,” kata Zoe.
Katanya, beberapa penduduk Sabah itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan secara kebetulan terserampak dengan mereka di tepi jalan.
“Mereka telah memandu setengah jam ke tempat kerja, kemudian memandu setengah jam lagi untuk membantu kami, dan sekarang mereka perlu memandu balik satu lagi setengah jam. Ia benar-benar tidak mementingkan diri,” luah Zoe dengan nada sebak.
Dalam video yang dikongsikan itu, Zoe sempat menghulurkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih di atas bantuan beberapa orang penduduk terbabit, namun ditolak dengan penuh sopan.
“Tidak mengapa kerana kami orang Malaysia. Anda orang asing dan memerlukan bantuan. Ingatlah, saya dari kampung ini,” balas penduduk Sabah berkenaan. – KOSMO! ONLINE.