WALAUPUN hanya beberapa jam turun padang menjadi pekerja pembersihan Alam Flora di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, penulis tidak dapat membayangkan bagaimana mereka yang sudah bekerja puluhan tahun dapat bertahan dengan pelbagai ragam dan longgokan sampah di ibu kota.
Kagum dan bangga itulah pujian buat mereka yang selayaknya digelar ‘adiwira’ kerana rela berkorban deria bau, kudrat serta tenaga berdepan dengan aroma tidak menyenangkan hampir setiap hari.
Bagaikan diberi kuasa ajaib selepas menyarungkan seragam, salah seorang pekerja pembersihan Alam Flora, Sukumaran Dheventharan, 44, mengakui padanya menjalani tugas sebagai pengutip sampah tidak seburuk yang disangkakan.
Menurutnya, meskipun ada yang berpandangan negatif terhadap tugas pekerja pembersihan, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat bagi memastikan kebersihan Kuala Lumpur terjamin.
“Ketika mula-mula bekerja 22 tahun lalu, memang ramai yang memandang rendah dan bertanya kenapa mahu bekerja sebagai pengutip sampah, tetapi saya hanya pekakkan telinga dan jalani sahaja tugas dengan penuh dedikasi.
“Meskipun pada pandangan orang ia adalah pekerjaan kelas rendah atau menjijikkan, hakikatnya kami berkhidmat untuk memastikan setiap kawasan bersih daripada sampah yang orang ramai sendiri hasilkan setiap hari,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, berdepan dengan sampah adalah satu cabaran yang tidak semua sanggup untuk hadapi, malah seperti kerjaya lain, hanya insan terpilih sahaja yang mampu menjalaninya. Ia dikategorikan di bawah pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous & Difficult) ataupun Kotor, Bahaya dan Susah.
Tidak hanya itu, kerjaya ini juga yang telah menjadi sumber rezeki buat dirinya untuk menanggung keluarga hingga berjaya membiayai pendidikan kedua anaknya di universiti.
Tiada usaha yang sia-sia selagi kita bekerja dengan tulus dan ikhlas, itulah yang menjadi pembakar semangat buat lelaki asal Kuala Lumpur itu dalam menempuhi hari-hari sebagai pekerja am Alam Flora.
Begitu juga buat pemandu lori sampah Alam Flora, Shanmugathan Karuppiah, 51, yang sebelum ini juga pernah berada di posisi sama seperti Sukumaran.
Katanya, sepanjang 34 tahun berkhidmat, stigma negatif bukan satu-satunya cabaran yang dihadapi sebagai tukang sampah, tetapi juga ragam masyarakat yang pelbagai serta sikap mereka terhadap pengurusan sampah.
“Apabila bekerja untuk masyarakat, kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan ragam mereka dan hal ini perlu ditangani dengan penuh rasional serta profesional.
“Kami tidak meminta banyak, hanya cukup faham dengan tugas kami dan beri kerjasama jika melihat lori sampah berada di kawasan anda, beri laluan dan paling penting, bungkus sampah dengan baik dan letak di dalam tong serta lokasi yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerjasama semua pihak dapat membantu pekerja pembersihan Alam Flora melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik sekali gus lancar mengikut jadual ditetapkan.
Bagi Penyelia Logistik Kutipan, Ahmad Umar Abd. Malik, 33, kebajikan dan keselamatan pekerja-pekerja di bawah seliaannya, adalah keutamaan selain memberikan semangat buat mereka untuk bekerja setiap hari.
Dia mengakui bahawa pekerja pembersihan juga adalah manusia biasa yang punyai hati dan perasaan, oleh itu setiap luahan serta permasalahan perlu diberikan penyelesaikan terbaik.
“Kita sentiasa mengambil tahu permasalahan yang dihadapi oleh setiap pekerja dan mencari solusi terbaik agar mereka boleh bekerja dengan baik.
“Semua pekerja ada ragam masing-masing, tetapi apa yang boleh dikatakan ketika bertugas mereka sentiasa lakukan yang terbaik bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga kepentingan orang awam,” kongsinya.
Katanya lagi, dia dan pekerja-pekerja am di Alam Flora juga amat terharu dengan sambutan Hari Pekerja Pembersihan (Garbage Man Day) yang disambut pada 17 Jun yang merupakan hari di mana jasa dan bakti mereka dihargai.
Sukumaran, Shanmugathan dan Ahmad Umar berkongsi rasa berterima kasih atas sambutan yang sangat bermakna buat mereka dan menjadi pembakar semangat untuk berkhidmat dengan lebih berdedikasi bagi menjamin kebersihan untuk keselesaan rakyat. -KOSMO! ONLINE