GUA MUSANG – Aliran trafik menghala keluar Kelantan melalui pusat bandar Gua Musang di sini bergerak perlahan selepas kenderaan perantau dilihat mula pulang ke ibu negara hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kenderaan yang melalui jalan Kuala Krai-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Lipis di sini semakin bertambah dengan kenderaan sehingga aliran trafik perlahan di beberapa lokasi.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Badrul Ariffin, 35, berkata, pergerakan kenderaan secara serentak menyebabkan aliran trafik perlahan menuju ke pusat bandar Gua Musang sejak pagi tadi.
Katanya, dia mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk bertugas selepas pulang ke kampung halaman untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Saya bertolak dari Kota Bharu pada pukul 12 tengah hari tadi dan tiba di bandar Gua Musang kira-kira pukul 5 petang.
“Saya sempat berhenti rehat di Hentian Rehat dan rawat Rantau Manis di sini dan kawasan itu dipenuhi dengan kenderaan perantau,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd. Zulkifli Othman, 40, berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan dan aliran trafik perlahan terutamanya di laluan Kuala Krai dan Gua Musang.
Katanya, mereka sekeluarga merancang perjalanan pulang hari ini kerana esok mereka sudah bekerja dan anak juga mula bersekolah.
“Kami bertolak pada tengah hari ini selepas melakukan ibadah korban. Kami sudah menjangkakan kenderaan semakin bertambah keluar dari negeri ini kerana cuti hari raya sudah habis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE