BANGKOK – Pendakwa raya Thailand secara rasmi mendakwa bekas perdana menteri yang masih berpengaruh, Thaksin Shinawatra di bawah undang-undang menghina raja berhubung komen beliau hampir sedekad lalu.
Thaksin merupakan penaung parti Pheu Thai yang mendominasi kerajaaan campuran Thailand.
Pemimpin itu didakwa di bawah undang-undang lese-majeste berkenaan wawancara beliau bersama media Korea Selatan pada 2015.
“Hari ini, seorang pendakwa raya kerajaan mendakwa Thaksin Shinawatra dan mahkamah menerima kes tersebut,” kata pejabat Peguam Negara Thailand dalam satu kenyataan.
Kes terhadap bilionair berumur 74 tahun itu merupakan salah satu daripada empat kes yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik baharu di Thailand.
Thaksin dipilih sebagai perdana menteri Thailand sebanyak dua kali sebelum beliau ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.
Thailand mempunyai undang-undang lese-majeste antara yang paling ketat di dunia bagi melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarga terdekat baginda.
Setiap kesalahan di bawah undan-undang tersebut membawa kepada hukuman penjara maksimum 15 tahun. – AFP