KAJANG – “Saya ingat (sangka) pengawal keselamatan sebab bawa senjata dan pakaian mereka serba lengkap dengan topeng muka (warna) hitam.
Demikian kata pembantu jualan dikenali sebagai Dyan, 18, yang menjadi saksi kejadian rompakan kedai emas di Plaza Metro Kajang, di sini petang semalam.
“Empat perompak berbadan tegap dan tinggi menggunakan lif dan tangga sebelah kiri pada pukul 3.11 petang.
“Keadaan ketika itu seperti biasa (senyap) dan kami bergurau sebab nampak seperti ‘safeguard’ sehinggalah salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis.
“Terkejut dengan bunyi tembakan itu, saya dan rakan segera masuk ke dalam stor kedai kerana takut diapa-apakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati suasana pusat beli-belah tersebut kelihatan sepi, manakala kedai emas yang dirompak semalam juga tidak beroperasi hari ini.
Sementara itu, Ima, 32, memberitahu, selepas terdengar bunyi tembakan, dia segera membawa anaknya yang berusia empat tahun masuk ke ruangan stor untuk bersembunyi.
“Apabila keadaan reda, baru kami berani tengok CCTV (televisyen litar tertutup) untuk melihat empat perompak bertopeng.
“Kalau diikutkan memang trauma hendak datang kerja hari ini sampai tidur pun mimpi kejadian (rompakan) semalam,” katanya.
Jelasnya, kedai emas itu tidak mempunyai pengawal keselamatan meskipun pernah berlaku kejadian rompakan di kedai emas lain sebelum ini.
Semalam Kosmo! melaporkan empat lelaki bertopeng dan bersenjata api menyamun sebuah kedai emas di daerah ini.
Suspek memecahkan cermin pameran dengan menggunakan tukul besi sebelum melarikan barang kemas.
Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang.
Satu das tembakan dilepaskan ke arah dinding premis sebelum penjenayah tersebut beredar ke tempat letak kenderaan di bawah bangunan tersebut. -KOSMO! ONLINE.