fbpx

Ramai jejaka ‘tertipu’ dengan model jelita rambut pink

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AITANA sebenarnya merupakan model AI Sepanyol. Model AI yang direka memiliki rupa paras hampir sempurna itu dilaporkan meraih pendapatan €10,000 (RM50,253) sebulan.

BENTUK fizikal yang sempurna bersama rambut panjang berwarna merah jambu milik model terkenal dari Barcelona, Sepanyol ini menjadikannya buruan ramai.

Maka, tidak hairanlah kecantikan model bernama Aitana itu turut berjaya memikat hati golongan selebriti yang sering menghantar mesej kepadanya untuk mengajak wanita jelita itu keluar.

Namun, jangan tertipu. Hakikat sebenarnya, Aitana tidak wujud dan dia merupakan model pertama dari Sepanyol yang dihasilkan menerusi kaedah kecerdasan buatan (AI).

Biarpun tidak wujud, namun nama Aitana semakin dikenali, lebih-lebih lagi apabila media-media di Eropah melaporkan dia berjaya menjana pendapatan sebanyak €10,000 (RM50,253) sebulan.

Pereka Aitana yang juga merupakan pengasas agensi The Clueless, Ruben Cruz berkata, Aitana ‘muncul’ ketika dia berdepan masalah kewangan apabila tidak berjaya memperoleh klien yang ramai buat agensinya.

“Kami mula meneliti cara kerja kami dan mendapati banyak projek terpaksa ditangguh atau dibatalkan, akibat masalah yang di luar kawalan kami.

“Kebanyakan masalah tersebut adalah berpunca daripada pempengaruh dan model,” katanya kepada Euronews.

Cruz kemudian membuat keputusan untuk mencipta sendiri model AI bagi jenama-jenama yang mahu gunakan khidmatnya.

Aitana diwujudkan oleh syarikat agensi The Clueless.

Dia dan pasukannya mula mencipta Aitana yang merupakan model jelita berambut merah jambu kelahiran Barcelona berusia 25 tahun yang mempunyai ciri fizikal hampir sempurna.

“Kami berbuat demikian kerana kami mahu menjana pendapatan dan tidak mahu terlalu bergantung harap kepada orang lain, yang kebanyakannya mahu dibayar lumayan hanya dengan berposing di hadapan kamera,” katanya.

Sumber pendapatan Aitana terdiri daripada pelbagai lapangan peragaan.

Aitana dicipta sebagai seorang model yang sukakan bidang kecergasan selain disifatkan sebagai wanita penyayang.

Aitana mampu meraih €1,000 (RM5,030) daripada hanya satu iklan, dan baru-baru ini menjadi wajah Big, sebuah syarikat berasaskan sukan dan makanan tambahan popular.

“Banyak perkara yang kami fikirkan saat mencipta Aitana. Kami menghasilkannya mengikut apa yang disukai oleh masyarakat termasuk hobi, cita rasa dan trend terkini,” kongsi Cruz.

Cruz berkata, setiap minggu, pasukan agensinya membuat mesyuarat untuk mencipta kehidupan Aitana. Mereka akan memutuskan apa yang akan dibuat Aitana pada minggu itu, mana tempat dia akan kunjungi dan gambarnya untuk dimuat naik untuk tatapan pengikutnya.

Tidak ada sesi penggambaran, tiada persalinan pakaian, sebaliknya hanya menggunakan kebijaksanaan pakar AI dan pereka fesyen untuk membolehkan kehidupannya direalisasikan.

Cuma dalam tempoh beberapa bulan diwujudkan, Aitana sudah mengumpul 121,000 pengikut di akaun Instagram miliknya.

Malah, wanita itu turut menerima mesej daripada lelaki-lelaki yang tidak tahu Aitana adalah rekaan semata-mata.

“Pernah satu hari, seorang pelakon Amerika Latin terkenal menghantar mesej kepada Aitana dan mengajaknya keluar.

“Pelakon tersebut mempunyai lima juta pengikut dan sama sekali tidak tahu bahawa Aitana yang dihubunginya itu tidak wujud,” kata Cruz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI