fbpx

Puntianak ‘task’ berat Ayda Jebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYDA merupakan antara ‘top contender’ program The Hardest Singing Show.

PENYANYI dan pelakon Ayda Jebat menjadi antara selebriti yang menjadi sebutan apabila sentiasa tambil dengan persembahan ‘luar kotak’ saat muncul di atas pentas The Hardest Singing Show (THSS).

Kreativiti yang ditampil sentiasa memberi cabaran kepada peserta lain. Namun, langit tidak selalunya cerah apabila percaturannya tidak menjadi pada minggu kelima pertandingan.

Mengangkat tema seram thriller, ideologi Ayda yang ingin merealisasikan impiannya untuk membawa watak seram akhirnya membuatkan dia terkeluar landasan apabila tersenarai sebagai dua peserta tercorot.

Percaya kepada rezeki, Ayda menjadikan itu sebagai teguran agar tidak terlalu selesa atau bersenang-lenang kerana sentiasa berada di posisi teratas.

“Sejujurnya saya dapat merasakan perkara itu akan berlaku kerana sudah menjangkakan sejak minggu ketiga. Bagaimanapun saya bersyukur kerana masih ada rezeki lagi untuk minggu kelima.

“Pada saya peluang berada di posisi terendah itu ibarat seperti ‘jentikan’ supaya saya terjaga daripada lena. Kadangkala apabila terlalu lama berada di atas, boleh membuatkan kita sedikit lalai,” katanya seraya tersenyum.

AYDA menegaskan mereka yang berlakon dengan bantuan kesan atau solekan khas perlu diberikan bayaran lebih.

Puntianak

Menjawab mengenai persembahan yang bertemakan seram itu, pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat, 32, itu mengakui idea asalnya hanya untuk menjadikan impiannya untuk memegang watak hantu terlaksana.

Meskipun berkesudahan dengan sedikit kecewa kerana gagal meraih kedudukan teratas, Ayda berasa puas apabila impiannya selama sedekad dalam industri tercapai.

Katanya, dia sering mendapat naskhah mengisahkan tentang pergolakan rumah tangga dan kecurangan dalam lakonan.

Bukan bermaksud untuk mengkritik, tetapi Ayda punya harapan dan rancangan sendiri bagi mengukuhkan portfolionya sebagai anak seni.

“Saya tidak berasa kecewa dengan industri, tetapi selama lebih 10 tahun kisah sebegitu yang sering saya tonton kaca televisyen dan ditawarkan.

“Sebagai pelakon, saya juga mempunyai impian sendiri dalam berkarya dan salah satunya adalah untuk membawakan watak sebagai hantu atau puntianak.

“Melihat kepada kesan solekan khas pada pelakon, membuatkan saya terfikir bagaimana perasaan mereka dan pengalaman mereka mengenakan solekan sebegitu sambil berlakon yang memakan masa sehingga berjam-jam,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Ayda juga memberitahu, dia menjadikan aktres Maya Karin sebagai idola dalam menjayakan watak seram. Baginya pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman itu cukup ikonik dan ‘serasi’ dengan watak puntianak di mata penonton.

AYDA memasang impian untuk berdampingan dengan idolanya Maya Karin dalam mana-mana projek lakonan.

“Setiap orang mempunyai idola masing-masing berdasarkan apa yang mereka lihat. Begitu juga saya yang menjadikan Maya Karin sebagai idola apabila dia berjaya membawakan watak puntianak itu dengan berjaya.

“Mungkin siapa tahu masa akan datang saya berpeluang untuk berlakon bersama dengannya dalam filem seram,” katanya seraya berseloroh.

Wajar beri perhatian

Melanjutkan cerita tentang solekan kesan khas, Ayda mengakui bukan mudah mengubah wajah dengan mengenakan kesan solekan khas.

Pengalaman memakan masa selama lima jam untuk mendapatkan hasil solekan yang diinginkan, Ayda memberitahu perkara itu bukan satu hal yang mudah.

Biarpun sudah berjaya menyempurnakan salah satu impiannya, kata Ayda, kesabaran yang tinggi amat diperlukan sepanjang tempoh tersebut.

Malah ibu anak dua itu berpendapat, pelakon yang mengenakan solekan kesan khas dan perlu melakukan babak aksi lagak ngeri wajar mendapat bayaran lebih kerana hal itu bukan mudah untuk dilakukan.

“Apabila sudah mempunyai pengalaman mengenakan kesan solekan khas ini, saya berasa seperti tidak sanggup untuk membawakan watak hantu.

“Bayangkan persediaan sahaja memakan masa lima jam dan itu tidak termasuk dengan tempoh masa berlakon yang mungkin memakan masa lebih 10 jam.

“Jika dilihat secara mata kasar, boleh dikatakan pelakon yang perlu menggunakan solakan kesan khas seperti ini dan terlibat dengan lakonan lagak ngeri perlu mendapat bayaran lebih. Ini terutama bagi pelakon body double yang perlu membawakan watak seram.

“Pengalaman saya yang hanya membuat persembahan ini juga pada saya agak mencabar, bagaimana pula dengan pelakon yang berada di lokasi terutamanya saat berdepan dengan cabaran cuaca panas,” ujarnya menutup bicara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI