fbpx

PM China lawat Malaysia, dijangka bertemu Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan Li Qiang.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Republik Rakyat China, Li Qiang mengadakan lawatan rasmi beliau ke Malaysia bermula hari ini hingga 20 Jun 2024 di mana ia merupakan kunjungan rasmi pertama selepas dilantik memegang jawatan itu.

Kementerian Luar Negeri berkata, lawatan Li juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan tandangan kenyataan bersama antara Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

“Semasa lawatan tersebut, Li akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala.

“Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Wisma Putra berkata, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau dan pelancongan.

Katanya, ia turut melibatkan aspek perumahan selain pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

“Kedua-dua pihak juga akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50.

“Li juga akan mengadakan Kunjungan Menghadap kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” jelasnya.

Pada masa sama, Anwar dan Li juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009 dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion.

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI