SEBERANG PERAI – Kerajaan menyatakan kewajarannya dalam melaksanakan penyasaran subsidi diesel dalam usaha menyelamatkan dana negara yang bocor dan disalah guna pihak tertentu sehingga keuntungannya diperoleh syarikat-syarikat besar di negara jiran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan langkah tepat kerajaan
dalam mengekang kecurian diesel terutama melibatkan nelayan asing dan syarikat minyak di sempadan.
Menurutnya, siri-siri penangkapan yang diteruskan itu membuktikan bahawa penyasaran subsidi itu kritikal untuk negara.
“Dua hari sudah, semua bas-bas pelancongan dan syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga sebab tak dapat subsidi.
“Maknanya, selama berpuluh tahun subsidi kita pergi ke syarikat Singapura dan pergi ke kapal-kapal Siam, dicuri di sana sini, bocor pun banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran penyasaran subsidi diesel di negara ini ketika hadir pada Program Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam perlaksanaan penyasaran diesel tersebut memandangkan masih di peringkat awal.
“Ini pencubaan awal yang tentunya kita hadapi sikit masalah. Saya tak nafikan tetapi untuk mencerca seolah zalim menekan rakyat itu tidak wajar.
“Kalau ada kelemahan maklumkan dan kita akan betulkan. Saya masih ambil sikap kalau ada masalah bagi tahu. Soalnya adalah wajar kita teruskan penyasaran subsidi diesel,” ujarnya.
10 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut. – KOSMO! ONLINE