BALING – Rata-rata pengunjung yang mahu berkelah di Taman Eko Rimba (TER) Lata Bayu, di sini kecewa apabila kawasan hutan lipur tersebut ditutup sementara susulan kes kencing tikus atau leptospirosis.
Mereka mendakwa hanya mengetahui tentang penutupan tersebut selepas membaca notis pemberitahuan pada pintu masuk yang turut ditutup dengan tali rentang.
Pengunjung dari Sungai Petani, Salmiah Bulat, 73, berkata, dia tidak tahu tentang penutupan itu dan kecewa kerana tidak dapat memasuki kawasan tersebut.
“Saya datang nak berehat sambil beriadah di Lata Bayu ini, namun tidak kesampaian apabila mendapati pintu pagar berkunci serta ditutup dengan tali rentang amaran.
“Terdapat notis pemberitahuan tentang penutupan hutan lipur ini dan ada dua penduduk kampung kemudian turut memaklumkan tempat ini ditutup sementara berikutan ada dua kes pengunjung yang datang mandi-manda di sini terkena kencing tikus,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia bagaimanapun akur dengan penutupan itu demi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin.
Pengunjung dari Kepala Batas, Pulau Pinang, Muhammad Mushaf Rasim, 26, pula berkata, dia bersama keluarga telah beberapa kali berkelah di Lata Bayu dan hasrat mereka untuk mandi-manda tidak kesampaian.
“Saya tidak tahu mengenai penutupan tempat ini, kali ini saya datang bersama saudara mara dengan dua buah kereta untuk berkelah.
“Malangnya kali ini kami kena mencari tempat lain pula untuk berkelah bagi menghabiskan bekalan makanan yang dibawa,” ujarnya.
Dia berharap agar orang awam dan pihak bertanggungjawab dapat menjaga kebersihan hutan lipur itu bagi mengelakkan berlaku lagi kes kencing tikus di situ. -KOSMO! ONLINE.