JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan seekor lembu di Yogyakarta yang sepatutnya menjadi korban pada sambutan Aidiladha mati sebelum sempat disembelih, lapor akhbar Suara.com semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @kim_padukuhandengok5, lembu itu dilihat tidak bergerak di atas tanah, manakala lehernya tersandar rapat pada sebatang pokok tempat ia diikat.
Menurut penduduk, lembu itu mati akibat lehernya terjerat dengan tali yang diikat ketat. Mereka berkata, ia berada dalam keadaan baik sehari sebelum ibadah korban dijadualkan bermula.
Penduduk setempat memutuskan untuk menanam bangkai lembu itu.
Kejadian berlaku di sebuah masjid di Desa Dengok, Kapubaten Gunungkidul di Yogyakarta.
“Kasihan buat mereka yang melakukan korban. Kita tak tahu usaha mereka yang menabung dan mengumpul wang untuk ini,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Ini bukan tragedi. Ini adalah kelalaian,” kata netizen lain. – AGENSI