fbpx

NDP, Allied Identity bangunkan kemudahan farmaseutikal berkonsep hijau di Chuping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Puan Temenggong Perlis Farinawati (tiga dari kanan) bersama Tengku Syarif Temenggong Perlis, Syed Amer Abidin (empat dari kanan) dan Huffman (empat dari kiri) di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – North Du­chess Pharmaceuticals Malaysia Sdn. Bhd. (NDP) dan Allied Identity, sebuah syarikat dari Ame­rika Syarikat (AS) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan sebuah kemudahan farmaseutikal berkonsepkan hijau di Chuping, Perlis bagi memberi nilai tambah kepada industri penjagaan kesihatan di negara dan melengkapi permintaan yang semakin tinggi pada masa depan.

Projek yang melibatkan kira-kira AS$50 juta (RM235 juta) itu bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat ini dengan disusuli penganjuran majlis pecah tanah projek yang terletak di Kawasan Industri Lembah Chuping (Chuping Valley) di negeri ber­kenaan bagi merealisasikan projek berpotensi tinggi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif NDP, Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Farinawati Mohd. Din berkata, perbincangan bersama Allied Identity telah berlangsung selama dua tahun dan kini adalah masa terbaik untuk meneruskan projek tersebut yang bakal memanfaatkan penduduk khususnya dalam merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

“Kilang ini akan mengeluarkan ubat generik khusus untuk pe­nyakit tiga serangkai tetapi kami memfokuskan kepada ubat untuk diabetes. Selain ia bertujuan untuk memenuhi permintaan tempatan, produk tersebut akan disasarkan bagi pasaran eksport,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian MoU tersebut di sini kelmarin.

Turut hadir Pengasas dan Pengarah NDP, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Syed Amer Abidin Raja Syed Putra Jamalullail serta juga Presiden dan Pengarah Urusan Operasi Asia Pasifik, Allied Identity, Steven Huffman.

MoU yang ditandatangani itu telah mewakili satu lagi peristiwa penting bagi menggabungkan sumber dan kepakaran untuk memajukan penyelesaian farmaseutikal mampan di Perlis.
Projek tersebut bakal melibatkan pembinaan loji dos pe­pejal farmaseutikal halal dan turut diperakui halal untuk Kementerian Kesihatan.

Selain menawarkan peluang pekerjaan sehingga 300 orang termasuk pekerja berkemahiran dan profesional, kilang itu di­angka menjana pendapatan sebanyak RM465 juta dalam tempoh lima tahun dengan jangkaan keuntungan operasi RM183 juta.

Farinawati menerangkan, projek ini bukan sahaja mewakili pelaburan dalam infrastruktur tetapi komitmen untuk memajukan penyelesaian penjagaan kesihatan dan memenuhi permintaan ubat yang semakin me­ningkat di negara kita dan komuniti global.

“Inisiatif ini akan memupuk pertumbuhan ekonomi dan me­ngukuhkan keupayaan kami dalam menghasilkan farmaseutikal permintaan kritikal di negara dan di seluruh dunia,” jelas­nya.

Tambah beliau, projek ini te­lah mendapat sokongan kerajaan persekutuan melalui insentif untuk pembuatan farmaseutikal tempatan, sejajar dengan dasar negara terhadap ubat generik mampu milik dan kerjasama strategik dengan entiti tempatan untuk memastikan pematuhan dan kemasukan pasaran. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI