fbpx

Malaysia, China setuju laksana pelan kerjasama lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Chery Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas model Jaecoo J7 di kilang korporat syarikat di Shah Alam semalam

SHAH ALAM – Malaysia dan China telah bersetuju untuk melaksanakan pusingan kedua Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Katanya, program berkenaan dijangka ditandatangani sempena lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Republik Rakyat China, Li Qiang ke negara ini bermula 18 hingga 20 Jun 2024, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Jelasnya, inisiatif berkenaan bakal mengeratkan lagi hubungan sesama industri di kedua-dua negara dalam sektor utama seperti pembuatan peringkat tinggi, ekonomi digital, robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula, serta penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian serta industri utama. 

“Dua Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan ke kerajaan dijangka ditandatangani dalam lawatan berkenaan, termasuk MoU Pengukuhan Kerjasama Pelaburan Digital dan MoU Menggalakkan Kerjasama Pelaburan dalam Pembangunan Hijau.

“MoU ini akan menetapkan hala tuju bagi syarikat Malaysia dan China mengenai peluang pelaburan dan perniagaan dalam pelbagai sektor,” katanya pada majlis pelancaran kilang korporat Chery Malaysia di sini hari ini.

Majlis sama turut menyaksikan pengeluaran pertama model kenderaan ulitili sukan (SUV) premium, Jaecoo J7 pemasangan tempatan, yang dipasang di kilang berkenaan.

Kilang tersebut bakal memfokuskan kepada pemasangan model jenama Jaecoo, yang merupakan sub-jenama premium bagi Chery.

Tahun lalu, Chery Malaysia mengumumkan komitmen pelaburan berjumlah RM1 bilion di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd, Yin Tongyue berkata, pihaknya bakal memperluaskan kehadiran di negara ini dan menggaji lebih ramai pekerja dalam perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pemasangan kenderaan dengan pemanduan di sebelah kanan, terutamanya untuk pasaran ASEAN.

“Malaysia ialah pasaran penting bagi Chery, wawasan kami di sini ialah untuk melangkah maju seiring rakan-rakan tempatan dan pelanggan dalam jangka panjang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI