PUTRAJAYA – Malaysia dan China akan memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar, China dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, majlis pertukaran MoU itu bakal disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi Premier Republik Rakyat China (RRC), Li Qiang ke Malaysia.
“Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui oleh Malaysia dan RRC melalui MoU ini adalah berkenaan perumahan, perancangan bandar dan bandar pintar.
“Susulan pemeteraian MoU mengenai kerjasama perumahan dan pembangunan bandar ini, kedua-dua negara dijangka akan menerokai potensi kerjasama dalam perumahan pintar (smart homes).
“Ia turut melibatkan bidang pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar, pemprofilan, penyelesaian dan perkhidmatan pintar untuk pengoperasian dan pengurusan bandar selain pembinaan dan pengubahsuaian pintar serta perkongsian mengenai pengiktirafan dan pensijilan bandar pintar,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelasnya, melalui MoU itu juga, kedua-dua negara akan mendapat manfaat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik serta kerjasama dalam inisiatif serta projek berkepentingan.
“Malaysia juga berpeluang mendapatkan kepakaran dan terknologi terkini berkaitan perumahan dan pembangunan urbanisasi daripada RRC yang mempunyai potensi meningkatkan nilai pelaburan negara, nilai pembangunan kasar serta mampu menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Pertukaran MoU dalam bidang perumahan dan pembangunan urbanisasi ini adalah dilihat sebagai satu kerjasama strategik dan signifikan antara Malaysia dan RRC,” jelasnya.
Pada masa yang sama, katanya, ia secara langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada yang telah terjalin antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE