GELARAN yang diraih pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia boleh dianggap sebagai petanda positif buat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bulan depan.
Kemenangan ke atas pemain No.6 dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada perlawanan akhir kelmarin membuktikan bahawa bekas juara Asia dan All England itu sudah semakin hampir dengan prestasi terbaiknya.
Zii Jia juga mengakui aksi yang ditampilkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini semakin positif, terutamanya apabila merangkul dua kejuaraan termasuk Terbuka Thailand bulan lalu.
“Jika bercakap mengenai perubahan, sebenarnya saya sudah berubah banyak dari segi mental kerana lebih tenang sekarang di dalam gelanggang. Bagi saya, ini adalah petanda positif untuk saya ke arah Sukan Olimpik nanti.
“Banyak perkara positif yang berlaku dalam tempoh empat ke lima minggu ini. Sekarang saya akan balik (ke Malaysia), berehat dan ‘cas semula’ sebelum buat persiapan terbaik untuk ke Olimpik,” katanya yang menghuni ranking kelapan dunia.
Kejuaraan yang diraih pada Jelajah Dunia Super 500 itu pastinya menjadi tonik terbaik buat Zii Jia, lebih-lebih lagi dia dilabelkan antara prospek untuk menyumbang pingat emas Olimpik pertama negara.
Sementara itu, mengulas aksi menentang Naraoka, Zii Jia menganggap pertemuan tersebut sebagai antara perlawanan paling sukar pernah dihadapinya sejak bergelar sebagai pemain profesional.
“Saya tidak fikir dapat mara ke final dan menang dengan cara (perlawanan sukar) seperti ini. Satu perlawanan yang sangat menarik, mungkin salah satu kemenangan terbaik dalam karier saya.
“Saya fikir Kodai (Naraoka) juga sudah berikan segala-galanya pada perlawanan ini. Secara keseluruhan, kami berdua sudah berikan yang terbaik untuk final Terbuka Australia,” ujar pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.