SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhak menggabungkan dua akaun yang didaftarkan atas nama individu yang sama.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Choong Yeow Choy berpuas hati, meskipun Akta dan Kaedah KWSP 1991 serta Peraturan KWSP 2001 tidak mengandungi peruntukan nyata yang memberikan kuasa kepada KWSP menggabungkan akaun berkenaan, tiada peruntukan sama yang melarang tindakan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berpendapat dana persaraan tersebut boleh melaksanakan kuasa pentadbiran untuk menggabungkan dua akaun yang dimiliki oleh individu sama.
Yeow Choy membuat keputusan itu selepas menolak saman pemula yang dikemukakan oleh M. Divyyaa terhadap KWSP selepas badan kerajaan itu menggabungkan akaun mendiang bapa kandungnya, S. Machap yang berakhir dengan nombor 236 dan 036 ke dalam satu akaun.
Mendiang bapanya mendaftarkan akuan KWSP pertama pada 10 Mac 1984 menggunakan kad pengenalan lama (236) manakala pada 1 Ogos 1995, lelaki itu membuat pendaftaran kedua menggunakan kad pengenalan baharu bagi akaun 036.
Selepas penggabungan, hanya ada satu akaun iaitu 236 (masih ada baki) manakala akaun 036 (tiada baki) dipadam.
Bagaimanapun, Machap tidak mendaftarkan penama bagi akaun 236 namun menamakan V.K. Dharsyaini sebagai pemegang amanah bagi akaun 036.
Hakim berkenaan berkata, Machap tidak membuat penama baru atau penamaan semula terhadap Dharsyaini selepas kedua-dua akaunnya digabungkan. Namun perlu diingatkan bawah Machap juga tidak membatalkan Dharsyaini sebagai penama.
Naratif saman pemula itu menyatakan, Machap meninggal dunia pada 17 Julai 2021 dan Divyyaa (pentadbir) dinasihatkan oleh KWSP untuk memohon surat kuasa mentadbir untuk pengeluaran wang bapanya dari akaun 236.
Pada 1 Disember 2022, Divyyaa menerima surat dari KWSP yang menasihatkannya untuk membuat bantahan terhadap penamaan yang dibuat mendiang bapanya dengan memfailkan injunksi atau saman pemula di mahkamah.
Mahkamah turut berpendirian, dalam hal berkenaan, hanya satu pihak yang mempunyai hak terhadap wang dalam akaun berkenaan.
“Keputusan kes ini akan mengecewakan sama ada penuntut (Divyyaa) dan V.K. Dharsyaini. Malangnya hanya satu pihak berhak terhadap wang dalam akaun.
“Defendan (KWSP) tidak mempunyai kepentingan dalam saman ini. Satu-satunya kebimbangannya adalah tanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan berkanunnya.
“Kes seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan mahkamah mesti meneliti dan menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Tafsiran peruntukan ini menyokong pendirian defendan,” katanya dalam alasan penghakiman yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini. – KOSMO! ONLINE.