HULU TERENGGANU – Gurauan dua sahabat yang berseloroh mahu mati bersama-sama menjadi kenyataan apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Kampung Gaung-Kuala Pueh- Empangan Jenagur berhampiran Kampung Pauh, di sini kelmarin.
Muhamad Darwish Ezariff Mohd. Khairul Azuan,16, dan Mohd. Faris Mohd. Zulkifli,16, yang merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Jenagur meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.
Abang sulung Muhamad Darwish Ezariff, Muhammad Danish Ezany,19, berkata, adiknya dan Mohd. Faris berkawan rapat sejak mereka di sekolah rendah lagi.
“Sewaktu Mohd. Faris mengunjungi rumah kami pada Khamis lalu, adik saya, Muhammad Darwish Ezariff berseloroh mengatakan mahu mati bersama-sama sahabat baiknya itu.
“Mohd. Faris sekadar mengiyakannya sebelum mereka ketawa bersama-sama. Tidak sangka seloroh itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lerek, di sini hari ini.
Kosmo! melaporkan kemalangan pada sehari sebelum Hari Raya Aidiladha berkenaan menyebabkan Mohd. Faris meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muhammad Darwish Ezariff pula menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu, di sini.
Muhammad Danish Ezany berkata, jenazah adiknya dan Mohd. Haris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lerek pada pukul 1 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE