PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ucapan selamat menyambut Aidiladha daripada pemimpin India, Turkiye dan Pakistan semalam.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau terlebih dahulu menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif.
“Kami berbalas ucapan selamat hari raya Aidiladha selain mendoakan kesejahteraan bersama dan keluarga serta rakyat kedua-dua negara.
“Menerusi perbualan telefon ini, kami juga sepakat untuk terus menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza yang terkesan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel,” katanya semalam.
Anwar berkata, beliau turut menyatakan pujian kepada Shehbaz atas keberaniannya memposisikan kedudukan Pakistan terkait kemelut di Gaza.
Ujar beliau, seharusnya pemimpin Islam negara lain terus mengukuhkan sokongan meningkatkan bantuan kemanusiaan selain menggandakan usaha menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di Gaza.
“Kami turut merancang untuk bertemu di Islamabad dalam masa terdekat agar hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Anwar memaklumkan, beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, saling berbalas ucapan Aidiladha dan berharap hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh.
Katanya, beliau sempat mengulangi jemputan kepada Erdogan untuk melawat Malaysia pada bulan Julai atau Ogos tahun ini dan memberi jaminan lawatan itu akan menjadi lebih bermakna kerana ia seiring ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye pada 17 Jun 1964 serta Perkongsian Strategik 10 Tahun antara kedua-dua negara.
“Kami turut senada untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan khususnya di Gaza malah Presiden Erdogan turut berkongsikan pengalamannya dalam menyatakan kebimbangan serta protes kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza dalam Sidang Kemuncak G7 di Itali yang dihadirinya baru-baru ini.
“Kesempatan yang ada juga kami gunakan untuk mengulangi komitmen dalam mengukuhkan kerjasama dalam pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan, pelaburan antara kedua-dua negara,” tambah beliau.
Dalam hantaran seterusnya, Anwar berkata, beliau menerima sepucuk surat daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengutuskan ucapan Aidiladha kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia.
Kata beliau, kedua-dua mereka senada berpendapat keamanan dunia bergantung kepada nilai kebersamaan antara satu sama lain sambil menerapkan prinsip kemanusiaan, ihsan serta pengorbanan dalam membina sebuah negara maju.
Katanya, beliau bersetuju dengan Modi yang menyentuh aspek budaya dan warisan turun menurun dalam menghormati satu sama lain perlu terus dijulang dan diraikan di seluruh pelusuk dunia ketika meraikan hari mulia tersebut.
“Mendoakan agar Modi terus diberikan kesihatan yang baik selain hubungan Malaysia dan India terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE