fbpx

Projek penggantian Aerotrain KLIA siap 31 Januari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aerotrain memberi kemudahan yang lancar dan cekap kepada penumpang di KLIA. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Projek penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan siap pada 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal berbanding tarikh siap asal pada 31 Mac 2025.

Garis masa yang dipercepatkan itu dimuktamadkan menerusi kontrak ditandatangani pada 14 Jun lalu antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. (Alstom), syarikat usaha sama IJM Construction Sdn. Bhd. dan Pestech Technology Sdn. Bhd.

Sebagai Ketua Penyelaras Projek, Alstom akan menyelia penghantaran tiga kereta api baharu, proses naik taraf dua barisan, dan keseluruhan ujian komprehensif untuk keselamatan operasi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysia Airports Holdings Berhad, Mohamed Rastam Shahrom menzahirkan penghargaannya atas kesabaran penumpang KLIA sepanjang proses naik taraf kemudahan tersebut.

 

“Penyiapan projek yang lebih awal daripada tarikh asal adalah bukti komitmen tanpa henti kami untuk meningkatkan pengalaman penumpang.

“Kemajuan ini bukan sahaja menangani keperluan segera bagi operasi tetapi juga mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan terkemuka di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia kepada penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan garis masa projek, Aerotrain baharu dijangka tiba di Malaysia dari China menjelang akhir suku tahun ketiga 2024, sebelum menjalani pentauliahan dan ujian ketat oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum operasi rasmi boleh dimulakan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI