SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta yang mereka naik terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer (KM) 155.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Utara di sini, pagi tadi.
Mangsa maut merupakan penumpang kereta jenis Proton Gen 2 iaitu lelaki berusia 30 tahun.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap, Mohd. Safi@Roslan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.36 pagi tadi.
Menurutnya, pasukan tiba di lokasi mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dan bas ekspres jenis Scania.
“Seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga pemandu kereta mengalami kecederaan pada bahagian muka manakala seorang lagi mangsa yang tersepit di ruang penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Mangsa mengalami kecederaan pada kepala.
“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE