PETALING JAYA – Sebuah video memaparkan adik kanak-kanak austistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin diambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meruntun jiwa orang ramai.
Menerusi sebuah rakaman berdurasi satu minit satu saat yang tular di Facebook, adik Zayn Rayyan dibawa ke van JKM oleh kedua ibu bapanya.
Lebih menyedihkan, adik Zayn Rayyan dilihat menangis dan enggan masuk ke dalam van tersebut.
Bapa kepada kanak-kanak itu juga dilihat menyeka air mata sebaik sahaja anaknya memasuki van berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna melahirkan rasa sebak dan berharap agar keluarga itu dapat disatukan semula.
“Tak dapat bayangkan kalau aku di tempat itu, orang nak pisahkan aku dengan anak mungkin aku aku akan pengsan,” kata Ieka.
“Semoga apa yang diizinkan Allah ini adalah yang terbaik untuk si kecil ni. Siapa kita nak menghalang kehendak Alllah SWT,” kata Eiqen.
“Allah sedihnya, deras terus air mata aku,” kata Azian.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan adik Zayn Rayyan akan ditempatkan di institusi kebajikan bagi tempoh dua bulan.
Menurut Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, terdapat keperluan yang menyebabkan JKM bertindak mengambil kanak-kanak berkenaan. – KOSMO! ONLINE