fbpx

Tingkatkan sedekah, terus bantu fakir miskin jalani hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha yang turut diiringi Muhammad Sanusi di Masjid Zahir, Alor Setar hari ini. - Foto UPDA

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan bahawa keutamaan umat Islam melaksanakan ibadah korban adalah memberi makan kepada golongan fakir dan miskin.

Kata beliau, perkara itu adalah signifikan dalam suasana kenaikan kos hidup terutama harga barangan keperluan yang disebabkan oleh penarikan subsidi diesel baru-baru ini.

“Justeru, dalam keadaan ini saya ingin mengingatkan bahawa adalah amat penting bagi kita untuk kembali kepada falsafah ibadah korban iaitu membantu golongan kurang berkemampuan.

“Sebagai orang beriman, kita perlu meyakini janji-janji Allah bahawa tidak akan berkurang bagi sesiapa yang ikhlas bersedekah kepada saudaranya yang memerlukan, malah akan bertambah,” katanya dalam Perutusan Aidiladha Menteri Besar Kedah, di sini hari ini.

Menurutnya, umat Islam yang berkemampuan dan mempunyai lebihan wang diseru untuk bersedekah walaupun sedikit kerana ia bukan sahaja pahala sebagai bekalan di akhirat, malah akan turut ditambah rezeki di dunia.

“Inilah falsafah yang kita cuba terapkan dengan usaha menjadikan negeri Kedah sebagai ‘negeri tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti’.

“Dengan masyarakatnya hidup dalam suasana berkasih sayang dan sentiasa prihatin antara satu sama lain, kita mahu Kedah menjadi negeri impian dan dambaan semua orang,” ujarnya.

Tambahnya, bersempena Aidiladha ini, umat Islam perlu bersama-sama menjiwai semangat pengorbanan dengan sanggup bersusah payah dalam meringankan beban sesama manusia.

“Mudah-mudahan dengan itu Allah SWT akan menurunkan rahmat dan mempermudahkan urusan kita semua dunia akhirat. Inilah masanya untuk kita menjiwai semangat pengorbanan dan kesanggupan untuk membantu saudara kita yang sedang dalam kesusahan, terutama saudara kita di Palestin yang sedang dibantai Zionis laknatullah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI