SEREMBAN – Walaupun jumlah ternakan yang dikorbankan mencecah sehingga lebih 50 ekor, namun hasil kerjasama dan gotong-royong ahli kariah, ibadah korban itu dapat diselesaikan dalam hanya tempoh masa tiga jam.
Menurut Pengerusi Surau Al-Mahabbah, Taman Desa Indah, Nilai di sini, ibadah korban yang dilaksanakan di surau itu melibatkan sebanyak 53 ekor ternakan secara keseluruhan iaitu 36 ekor lembu dan 17 ekor kambing.
“Hanya dalam tempoh tiga jam, sebanyak 53 ternakan bagi pelaksanaan ibadah korban telah siap disembelih, sebelum kerja-kerja menyiat, melapah, memotong dilakukan secara gotong-royong. Boleh dikatakan, tahun ini ternakan bagi pelaksanaan ibadah korban adalah paling tertinggi diterima dalam kalangan ahli kariah sejak tiga tahun penganjuran.
“Alhamdulillah, tahun ini proses penyembelihan ke atas kesemua ternakan korban melibatkan enam penyembelih bertauliah telah berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam yang bermula pada pukul 8 pagi. Kami sasarkan dapat siapkan proses (penyembelihan) tersebut dalam tempoh masa empat jam, dan atas kerjasama hampir 500 ahli kariah dan penduduk sekitar, prosesnya berlaku sangat pantas,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, antara faktor menyebabkan ramai individu ingin melakukan ibadah korban di surau itu adalah kerana harga satu bahagian ternakan lembu korban ditawarkan pada berharga RM690.
“Kesemua agihan daging korban juga akan disalurkan kepada penduduk Islam sekitar termasuk seramai 100 golongan asnaf, fakir miskin.
“Kali ini, anak-kanak kariah berusia antara tujuh hingga 15 tahun turut diberi peluang merasai pelaksanaan ibadah korban dengan turut sama menyembelih ternakan kambing,” katanya. – KOSMO! ONLINE