PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan kawasan di utara dan Pantai Timur Semenanjung sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah melibatkan daerah Baling, Kulim dan Bandar Baharu, diikuti dengan Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.
“Hujan lebat turut dijangka di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
“Di Selangor pula, taburan hujan lebat yang boleh berlarutan sehingga ke lewat malam turut dijangka di Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” kata kenyataan itu.
Selain itu di bahagian Malaysia Timur pula, amaran hujan lebat turut dikeluarkan melibatkan kawasan Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu, Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang di Sarawak.
“Di Sabah, cuaca hujan berserta ribut petir juga diramalkan tertumpu di kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu), Sandakan (Tongod dan Telupid) dan Labuan sehingga 9 malam ini,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE