KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 2,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan Mufti Negeri, Datuk Dr. Muhammad Sabri Harun yang kemudiannya menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk Aidiladha Kemuncak Kejayaan Pengorbanan Hamba.
Sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Sultan Mizan berkenan meluangkan masa hampir 39 minit bersalaman dengan jemaah masjid.
Baginda kemudiannya berangkat menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Al-Muktafi Billah Shah. – KOSMO! ONLINE