SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Sebelum dan selepas selesai menunaikan solat, baginda turut berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyertai majlis santapan di masjid berkenaan.
Sementara itu, dalam khutbah Aidiladha bertajuk Ibadah Haji dan Eiduladha Kemuncak Zikrullah yang dibacakan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Miszairi Sitiris menyeru umat Islam ikhlas melakukan ibadah korban dan berkorban pada jalan Allah sebagaimana ditunjukkan Nabi Ibrahim.
“Islam mengajar kita mengorbankan sesuatu yang berharga sebagai bukti dan saksi kepada akidah demi kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.
“Orang yang berjaya adalah mereka yang melakukan pengorbanan masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran dan perasaan kerana kejayaan tidak datang bergolek,” katanya.
Tambah beliau, umat Islam diseru sentiasa berzikir memuji kebesaran Allah supaya hati menjadi tenang dan mengukuhkan keimanan kepadaNya.
“Umat yang pergi menunaikan ibadah haji merupakan tanda zikir dan ingatan kepada Allah selain dapat mengambil pengajaran daripada pengorbanan Nabi Ibrahim.
“Janganlah iman kita tergadai dengan harta benda, nama dan pangkat. Tetapkanlah hati kita kepada Allah,” katanya. -KOSMO! ONLINE