PETALING JAYA – Rata-rata umat Islam di Malaysia meluahkan rasa sedih ekoran tidak puas menikmati suasana Hari Raya Aidiladha pada kali ini.
Antara alasan diberikan adalah cuti bekerja yang diperuntukkan hanya sehari untuk meraikan hari raya korban itu bersama insan tersayang.
Menerusi tinjauan Kosmo! di platform media sosial, ramai yang memuat naik gambar raya bersama keluarga berserta kapsyen sedih disebabkan hanya sempat berkumpul kurang 24 jam sebelum masing-masing perlu bergerak pulang untuk bekerja keesokan hari.
“Esok dah masuk kerja, tak puas nak berkumpul dengan keluarga sambut raya. Hari ini pun sempat beraya rumah sedara di Taiping sahaja. Tak sempat nak pergi yang jauh sedikit ziarah yang lain,” luah Nurin menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Sementara itu, pengguna Facebook, Abdul Basir berkata, dia dan keluarga tiba di kampung halaman di Batu Pahat, Johor sekitar pukul 8 malam semalam, namun mula bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar pukul 3 petang tadi.
“Dapatlah beberapa jam jumpa mak abah kat kampung. Adik-beradik pun ada yang balik raya kali ini. Jenis syarikat bagi cuti sehari, bertabahlah. Ada rezeki kita balik kampung lagi. Raya kan sebulan,” selorohnya dalam hantaran yang dikongsikan itu.
Sementara itu, semakan Kosmo! di laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, kebanyakan lebuh raya utama mula mengalami pertambahan kenderaan sejak awal petang tadi.
Bagaimanapun, aliran trafik masih lagi lancar setakat pukul 4.45 petang.
Ramai perantau dari utara dan Pantai Timur mula bergerak menuju ke selatan dan ibu negara ketika ini. – KOSMO! ONLINE