fbpx

Preti fasih dialek Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRETI merupakan pelajar jurusan komunikasi di UKM.

PELUANG yang datang harus digunakan dengan sebaiknya dan itulah yang dilakukan oleh Preti Kaur Gill.

Apabila mendapat tawaran untuk menjadi pelakon, dia tidak melepaskan peluang tersebut meskipun menyedari bahawa dirinya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu.

“Saya sendiri terkejut apabila ditawarkan untuk memegang watak utama dalam drama bertajuk Bawah Blok yang disiarkan di saluran televisyen TV3.

“Saya tidak patut melepaskan peluang yang sangat berharga ini,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, terbaharu, dia mendapat peluang berlakon dalam dua drama yang akan ditayangkan pada Ogos ini.

Preti juga mengakui, pada mulanya, dia merasa dirinya amat kerdil ketika di set pengembaraan kerana itu pengalaman pertama muncul di layar televisyen.

Namun begitu, pelakon-pelakon terkenal lain serta kru produksi banyak membantu dan melayaninya dengan baik.

Pada masa sama, gadis yang berasal dari Kuala Terengganu itu menjelaskan, setelah terlibat dalam dunia lakonan ketika meneruskan pengajian di UKM, dia perlu bijak membahagikan masa.

“Apa yang saya boleh katakan, saya ‘tidak cukup tidur’, tetapi ia tidak mengganggu prestasi pelajaran saya.

“Saya seorang yang pentingkan pengajian. Pada tahun kedua pengajian, saya mendapat anugerah kecemerlangan akademik terbaik bagi jurusan pengajian saya.

“Dari situ, saya mendapat inspirasi bahawa saya boleh melakukan dua tiga kerja dalam satu-satu masa jika mampu uruskan masa dengan baik,” jelasnya.

PRETI (duduk, kanan) banyak mendapat tawaran berlakon dalam drama televisyen.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas sebab memilih bidang komunikasi sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian, Preti menjelaskan, dia memang amat meminati bidang tersebut.

Katanya, dia mahu menjadi pengamal media setelah tamat pengajian di UKM kelak.

Lanjutnya, sejak kecil lagi, dia meminati kerjaya berkaitan media seperti wartawan penyiaran, pembaca berita, penyampai radio dan lain-lain lagi.

“Oleh itu, setelah tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang komunikasi di UKM.

“Sewaktu menyambung pengajian, negara kita masih dilanda pandemik Covid-19.

“Jadi, pada tahun pertama, saya belajar dari rumah secara online sepenuhnya.

“Pada ketika itu juga, ada pencarian penyampai radio Molek FM dengan proses uji bakat menerusi aplikasi TikTok.

“Rakan-rakan meminta saya mencubanya memandangkan saya fasih berbahasa dialek Terengganu,” katanya.

Tambahnya, percubaannya itu membuahkan hasil apabila dia tersenarai antara lima calon yang layak untuk peringkat akhir.

Di situlah, Preti meraih pengalaman untuk menjadi seorang penyampai radio.

Sementara itu, mengulas tentang perancangannya setelah tamat pengajian kelak, Preti menjelaskan, sebolehnya dia ingin mencari pengalaman kerja terlebih dahulu.

“Mungkin saya akan bermula dengan menjadi wartawan penyiaran terlebih dahulu.

“Jika ada rezeki, saya ingin menjadi pembaca berita dan pengacara untuk sesuatu rancangan.

“Setelah tiga tahun mendapat pengalaman kerja, mungkin saya akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya akan melakukan kedua-duanya serentak iaitu bekerja dan belajar,” terangnya.

Menariknya, Preti juga merupakan seorang pelajar yang aktif di universiti dan dia menyertai kelab UKM Ambassador.

Terangnya, di dalam kelab itu, dia bertanggungjawab untuk menjaga pelajar-pelajar antarabangsa.

“Jadi, saya akan membawa mereka untuk mengenali budaya dan warisan masyarakat di negara ini.

“Selain itu, pada tahun 2022, saya pergi ke Thailand untuk mewakili UKM bagi Program Pembangunan Belia anjuran Persatuan Universiti Asia dan Pasifik (AUAP),” jelasnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI