KEMENANGAN 4-0 ke atas Negeri Sembilan pada aksi Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin memberikan masalah tambahan buat pengendali Selangor, Nidzam Jamil dalam menyediakan skuad terbaik bagi harungi baki saingan selepas ini.
Berdasarkan kualiti dipersembahkan pemain yang diturunkan, Nidzam akui yang anak buahnya kekal dengan mentaliti positif untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama
“Semua yang main faham cara bertahan seperti kita bayangkan, namun pada masa akan datang kita perlu tambah baik persembahan kami. Tetapi, secara keseluruhan kami boleh berasa gembira dengan keadaan sekarang.
“Sudah pasti akan ada kesilapan dalam permainan bola sepak. Kalau tanya bagaimana (peluang pemain) selepas ini, saya rasa kalau mereka berikan komitmen dan menunjukkan sikap bagus, sudah pasti ia beri masalah kepada saya untuk buat pemilihan skuad utama,” kata Nidzam.
Pada perlawanan kelmarin, Yohandry Orozco dan Alvin Fortes masing-masing meledak dua gol dan kejayaan mara ke suku akhir lebih manis kerana ia diraih di depan bintang sensasinya, Faisal Halim yang turut hadir ke stadium untuk berikan sokongan.
Nidzam berpendapat kehadiran Faisal atau Mickey memberikan kejutan saat akhir buat pasukan dan kejayaan kali ini beri mampu beri ‘ubat’ kepadanya untuk harungi proses pemulihan selepas disimbah asid.
“Sudah pastilah (kehadiran Faisal beri motivasi buat pasukan) kerana dia sudah sebulan tidak bersama kita. Kami juga gembira dia berada di stadium dan kami harap dia kembali pulih dengan segera,” katanya