fbpx

Pelarian Rohingya turut raikan kemeriahan Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lembu 'sado' seberat 1 tan dikorbankan dalam Program Ibadah Korban bersama Masyarakat Myanmar dan Myanmar Muslim di Taman Wilayah Selayang, berdekatan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh IQBAL ROSLI / KOSMO!

SELAYANG – Sebanyak 28 ekor lembu dan dua ekor kambing berjaya ditumbangkan dalam program ibadah korban bersama kumpulan pelarian Myanmar dan Myanmar Muslim (Rohingya) yang tinggal di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Program ibadah korban hasil kerjasama badan bukan kerajaan iaitu Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon Lima Parlimen Batu, Pertubuhan Kebajikan Islam Nusantara (Perkin), Humanitarian Aid Selangor dan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) itu melibatkan lebih kurang 200 orang peserta yang terdiri daripada pelarian Rohingya.

Menurut Ketua Komuniti Humanitarian Aid Selangor, Rafik Shah Mohd. Ismail, setiap seekor lembu yang berada di sini hari ini berharga diantara RM8,000 sehingga RM20,000 dengan berat diantara 700 kilogram ke satu tan lebih.

“Hari ini ada lapan ekor lembu sado yang berukuran berat lebih kurang satu tan lebih setiap satu, 25 ekor akan ditumbangkan pagi ini, manakala 5 ekor lagi termasuk dua ekor kambing akan dikorbankan pada sebelah petang.

“Petugas yang menyempurnakan ibadah korban ini bermula daripada penyembelih, tukang pegang tali dan petugas melapah pula, terdiri daripada tuan yang melaksanakan ibadah korban bersama komuniti pelarian Rohingya yang lain.

“Anggaran kos keseluruhan pula, setiap seekor lembu sado berharga RM20,00.Jadi jumlah kesemuanya ialah lebih kurang RM160,000 untuk lapan ekor lembu, secara kasar boleh dikatakan harga 30 ekor haiwan korban pada hari ini ialah RM300,000,” katanya.

Kongsi Rafik, bagi masyarakat Rohingya atau Myanmar Muslim telah dididik dari kecil untuk melaksanakan ibadah korban sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, sebab itu mereka ada kesungguhan yang tinggi dalam bab ini.

Setiausaha Kehormat Ikiam, Razali Latif, berkata, program yang telah dilaksanakan pada tahun itu merupakan acara tahunan bagi kumpulan pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.

Katanya, pada tahun lepas, sebanyak 86 ekor haiwan korban berjaya disembelih, namun pada tahun ini jumlah tersebut telah dikurangkan, disebabkan kekangan ruang tapak penyembelihan yang ditukarkan daripada tanah persendirian di Pasar Borong Kuala Lumpur ke tapak milik pihak berkuasa tempatan.

“Pada awalnya kami bercadang untuk lakukan korban 100 ekor lembu, namun tempat yang agak sempit sehingga tidak boleh memuatkan lebih daripada 25 ekor pada satu-satu masa. Jadi terpaksa bahagikan kepada empat sesi iaitu, satu sesi pagi dan satu sesi petang untuk 10 dan 11 Zulhijjah.

“Tetapi program ini dikhaskan untuk kumpulan pelarian Myanmar, tradisi mereka pula lebih mengutamakan ibadah korban pada waktu pagi selepas solat sunat Aidiladha sahaja, jadi kami terpaksa batalkan 75 ekor lembu selebihnya,” katanya.

Ulasnya, para peserta yang terdiri daripada kumpulan Rohingya itu akan menyempurnakan sendiri ibadah korban mereka, bermula daripada proses menjaga lembu sebelum disembelih, menyembelih dan mengagihkan daging.

“Sebelum lembu-lembu ini dikorbankan hari ini, tuan mereka akan membelai dan menjaga dengan penuh kasih haiwan korban tersebut sehingga ada yang mandikan lembu tiga kali sehari dan pakaikan bunga untuk mereka.

“Walaupun agak kelakar, namun ia boleh dijadikan sebagai motivasi kepada orang di luar sana, kerana pelarian Rohingya ini bersusah payah untuk mengorbankan seekor lembu, jadi mereka akhiri dengan menyantuni haiwan sebaiknya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI