BEREGU wanita profesional negara, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien gagal merealisasikan impian bergelar juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia apabila terpaksa berpuas hati muncul naib juara.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Quaycentre, Sydney semalam, pasangan ‘bidan terjun’ itu akur dengan kekalahan tiga set 21-12, 7-21, 13-21 kepada Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dari Indonesia.
Walaupun tewas, namun pencapaian itu boleh dianggap cukup membanggakan memandangkan Pei Jing-Chiew Sien pada awalnya menyertai Terbuka Australia dengan niat sekadar untuk mencuba.
Beraksi menentang pilihan kedua kejohanan, beregu negara memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila menampilkan aksi cukup baik sehingga berjaya mencatat kemenangan pertama 21-12.
Bagaimanapun, Kusuma-Pratiwi tampil dengan aksi lebih kemas di set kedua dan menguasai sepenuhnya permainan apabila mendahului 15-6 sebelum menang 21-7 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, kedua-dua beregu menampilkan aksi lebih seimbang, namun pasangan Indonesia itu berada dalam keadaan cukup selesa apabila langsung tidak membenarkan Pei Jing-Chiew Sien memimpin perlawanan.
Menuju ke penghujung permainan, Kusuma-Pratiwi tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengutip mata demi mata sebelum melengkapkan kemenangan mutlak 21-13 bagi menjulang kejuaraan terbuka Australia.
Selaku juara, Kusuma-Pratiwi membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM156,543) berserta trofi dan pingat manakala Pei Jing-Chiew Sien berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,299) dan pingat.
Sementara itu, gelaran naib juara sedikit sebanyak mengubat duka Pei Jing yang tersingkir di separuh akhir kelmarin menerusi acara beregu campuran bersama gandingannya, Tan Kian Meng.