PETALING JAYA – Malaysia dan Pakistan sepakat terus menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza yang terkesan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan semasa menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, hari ini.
Beliau berkata, mereka turut berbalas ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha selain mendoakan kesejahteraan bersama dan keluarga serta rakyat kedua-dua negara.
“Saya turut memuji Shehbaz atas keberanian beliau memposisikan kedudukan Pakistan terkait kemelut di Gaza.
“Seharusnya pemimpin Islam negara lain perlu terus mengukuhkan sokongan dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan selain menggandakan usaha menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Selain itu katanya, mereka turut merancang untuk bertemu di Islamabad dalam masa terdekat agar hubungan kedua-dua negara dapat diperkukuhkan. – KOSMO! ONLINE