HULU TERENGGANU – Gara-gara seekor lembu yang mahu dikorbankan meronta, sebilah pisau dipegang Ketua Pemuda Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohamad Yusuf Abdullah terlepas lalu mengenai betis kanannya di Kampung Matang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, betis Mohamad Yusuf, 34, parah terkena kelaran pisau terbabit.
Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Telemong, Mohd. Safari Abu berkata, sewaktu kejadian, Mohamad Yusuf mahu menyembelih lembu kedua bagi ibadah korban anjuran pihaknya.
“Mohamad Yusuf telah dijemput untuk menyembelih lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.
“Beliau menyembelih lembu pertama tanpa sebarang masalah, namun sewaktu tiba giliran lembu kedua, haiwan itu tiba-tiba meronta-ronta sehingga menyebabkan pisau dipegangnya terlucut terkena betis kanannya,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Safari berkata, Mohamad Yusuf terus dikejarkan ke Unit Kecemaasan Hospital Hulu Terengganu di sini untuk menerima rawatan.
Tambah beliau, Ketua Pemuda Pas tersebut telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu berikutan kecederaan dikhuatiri serius. – KOSMO! ONLINE