BERLIN – Sepanyol tidak mempunyai alasan mengambil sikap mendabik dada selepas memulakan kempen Euro 2024 dengan bergaya apabila tewaskan Croatia 3-0 awal pagi semalam.
Pengendali La Roja, Luis De La Fuente mahu anak-anak buahnya kekal berpijak di bumi nyata kerana percaya masih banyak cabaran yang bakal diharungi selepas ini.
“Mesej saya adalah kami perlu kekal tenang, bermotivasi dan bangga. Pemain juga tahu seluruh negara begitu teruja, namun kami perlu terus bertenang.
“Kami juga perlu kekal bersikap profesional kerana ketenangan adalah kekuatan utama buat kami. Tetapi, pastinya kemenangan ini beri rangsangan dan kelegaan.
“Namun, dalam lima hari kami ada perlawanan besar menentang Itali. Kami semua perlu bertenang dan sasaran kami masih terlalu jauh,” katanya.
Kesemua jaringan Sepanyol dihasilkan oleh Alvaro Morata, Fabian Ruiz dan Dani Carvajal selain Lamine Yamal, 16, muncul pemain termuda yang beraksi di Euro dan pemain sayap Barcelona mencipta umpanan berkualiti yang disudahkan oleh Carvajal.
“Kami menentang Croatia yang juga salah satu pasukan terbaik di dunia. Kami bermain dengan baik dan skuad muda kami berjaya melakukan apa yang sepatutnya kami buat.
“Ramai daripada pemain baharu kali pertama bermain di kejohanan ini namun kami berjaya kekal fokus sepanjang 90 minit permainan,” jelasnya. – AGENSI