FRANKFURT – Belgium mengharapkan tuah aksi sulung menjelang pertemuan menentang Slovakia pada perlawanan Kumpulan E saingan Euro 2024 yang akan berlangsung di Frankfurt Arena tengah malam ini.
Pemain sayap pasukan itu, Yannick Carrasco menjelaskan, pemain-pemain Belgium menjadikan penyingkiran awal pada Piala Dunia Qatar 2022 sebagai pengajaran terbaik selain membuatkan mereka lebih matang.
Justeru, Euro 2024 dianggap sebagai medan terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan, lebih-lebih lagi Belgium tidak pernah tewas sejak diambil alih Domenico Tedesco Februari tahun lalu.
“Perbezaan antara Euro kali ini dengan Piala Dunia di Qatar adalah pemain-pemain Belgium sudah semakin matang. Kekalahan awal di Piala Dunia menyebabkan kami lihat setiap kejohanan dengan perspektif berbeza.
“Secara jujur, status sebagai pasukan bukan pilihan sebenarnya lebih baik kerana boleh bermain tanpa sebarang tekanan. Bagaimanapun, kami terpaksa berdepan tekanan tinggi kerana bermain sebagai pasukan pilihan,” katanya.
Pemain Atletico Madrid itu juga percaya keharmonian serta semangat berpasukan yang ada dalam skuad The Red Devils mampu membantu mereka untuk meraih tiga mata berharga ke atas Slovakia nanti. – AGENSI