PETALING JAYA – Dua ekor lembu yang menyebabkan kekecohan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), di sini, semalam, dipercayai terlepas dari kawasan surau berhampiran.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya mengesan video berkaitan kejadian yang dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mohd Nooramin sekitar pukul 5.30 petang semalam.
Susulan kejadian itu, satu kemalangan berlaku apabila salah seekor lembu dirempuh sebuah Perodua Myvi.
“Bagaimanapun, kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan di bawah Undang-Undang 33(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Beliau juga memohon perakam insiden berkenaan untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi membantu siasatan.
“Individu yang merakam kejadian terbabit turut diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.