MEKAH – Kebakaran dapur di salah sebuah khemah milik syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) tidak mengganggu gugat operasi haji dan berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang berdukacita dengan kejadian itu berkata, semua pihak tidak perlu bimbang dengan kebakaran berkenaan.
Malah menurutnya, keadaan jemaah haji yang berada berhampiran kawasan tersebut ketika kejadian juga berada dalam keadaan selamat.
“Punca kejadian kebakaran masih disiasat oleh pihak berkuasa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang mengambil tindakan pantas dan dapat mengawal situasi dalam jangka masa pendek,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kebakaran membabitkan sebuah dapur di khemah milik PJH berhampiran kompleks Jamarat semalam.
Dalam pada itu , Mohd Naim berkata, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji ) melaporkan tiga kematian baharu termasuk seorang yang meninggal dunia hari ini membabitkan jemaah PJH.
Katanya, Allahyarham Sakinah Jalil, 66, berasal dari Sungai Buloh, Selangor meninggal dunia di pekarangan sebuah pasar raya di Syisa akibat serangan jantung pada pukul 4.30 petang, kelmarin.
“Dua lagi kematian ialah jemaah dari Jengka, Pahang, Allahyarham Baharuddin Mohd Shood berusia 75 tahun dan Allahyarham Abd. Manaf Hanafiah, 65, dari Alor Setar, Kedah.
“Allahyarham Baharuddin meninggal dunia pada 11 Jun 2024 pukul 5.10 petang akibat kanser usus yang didapati sudah merebak ke sistem hempedu, manakala Allahyarham Abd. Manaf meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital Makkah Medical Centre, pada 13 Jun 2024 pukul 5.30 petang.
Tambah Mohd. Naim, kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital ini disebabkan cuaca panas di Arafah, Muzdalifah dan Mina mengakibatkan beberapa jemaah jatuh sakit disebabkan masalah berkaitan paru-paru. – KOSMO! ONLINE