PETALING JAYA – Musim perayaan Aidiladha ini, tentu sekali stok daging korban akan memenuhi ruang peti sejuk di rumah.
Bagi memastikan kualiti daging korban dapat bertahan lama sehingga 12 bulan, terdapat beberapa tip penyimpanan dengan betul.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook hari ini, tip pertama adalah daging tidak perlu dibasuh sekiranya ingin disimpan dalam peti sejuk.
Ini kerana, mencuci daging mentah sebelum menyimpannya meningkatkan risiko kontaminasi silang dengan memercikkan bakteria ke permukaan dan peralatan dapur lain.
“Selain itu, buang bendasing yang terdapat pada daging seperti daun pisang, pasir dan serpihan kayu.
“Potong daging kepada bahagian yang lebih kecil dan simpan dalam bekas-bekas kecil bagi memudahkan untuk bawa keluar untuk dimasak nanti,” jelas PHM.
Tip seterusnya adalah labelkan tarikh mula disimpan pada bekas yang digunakan bagi memudahkan untuk menyemak tempoh penyimpanan daging tersebut.
“Bungkus daging dengan ketat menggunakan plastik pembungkus. Pastikan tiada udara yang terperangkap dalam bungkusan dan jangan masukkan plastik kotor terus ke dalam ruang beku.
“Simpan daging di bahagian paling sejuk dalam peti sejuk pada suhu di bawah empat darjah Celsius jika ia akan digunakan dalam masa beberapa hari.
“Untuk penyimpanan lebih lama, bekukan daging dalam peti sejuk beku pada suhu -18 darjah Celsius atau lebih rendah,” jelas PHM.
Dalam pada itu, PHM turut berkongsi cara lembutkan daging beku.
“Letakkan daging beku di bahagian paling bawah peti sejuk untuk elak air menitis dan mencemarkan barang lain. Lakukan dalam tempoh 24 jam sebelum masak. Boleh gunakan ketuhar gelombang mikro juga.
“Jangan membekukan semula daging yang telah dicairkan, kerana ini boleh meningkatkan risiko kontaminasi bakteria dan menjejaskan kualiti daging,” kata PHM.
Jelas portal kesihatan itu, daging merah seperti dahing lembu, kambing atau rusa yang disimpan di dalam ruang beku pada suhu -18 darjah Celsius atau lebih rendah boleh bertahan untuk jangka masa yang lama.
“Daging mentah (steak, potongan besar) bertahan enam hingga 12 bulan. Daging mentah (potongan kecil, kepingan) bertahan empat hingga enam bulan. Daging yang dimasak boleh disimpan selama dua hingga tiga bulan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE