PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.
Anwar dalam satu hantaran berkata, peluang mengembara ke Mekah buat menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hamba-Nya.
“Kita mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam.
“Namun seyogia diingat, haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana,” katanya di sini hari ini.
Anwar berkata, tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan.
“Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla.
“Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan,” katanya.
Selain itu, Anwar mengingatkan agar tidak melupakan golongan asnaf dalam kemeriahan menyambut Aidiladha.
“Kongsilah nikmat Tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban, sebagaimana sabda Rasulullah SAW.
“Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia dari kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan.” (hadith riwayat al-Bayhaqi).
“Akhirul kalam, saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh haji yang mabrur, dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE