GEORGE TOWN – Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan mengedarkan 252 ekor lembu ke 212 buah masjid dan 25 surau di Pulau Pinang sempena Program Ibadah Korban Perdana 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, ibadah korban yang diuruskan oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu yang berjumlah 100 ekor.
“Program Ibadah Korban Perdana pada tahun ini mendapat sambutan yang amat memberansangkan.
“Semua masjid yang mempunyai kariah di Pulau Pinang mendapat sekurang-kurangnya seekor lembu untuk dijadikan korban melainkan masjid yang ketiadaan halaman untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, secara tidak langsung peningkatan penyertaan daripada penyumbang mencerminkan keyakinan mereka kepada pengurusan ibadah korban oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE