PETALING JAYA – Penangan lagu tangkap leleh terbaru dalam bahasa Tamil daripada seorang penyanyi berbangsa Melayu mencetuskan fenomena apabila orang ramai mula berminat untuk mempelajari bahasa tersebut untuk kegunaan harian.
Menerusi perkongsian video berdurasi 1 minit 8 saat di laman TikTok @salenasalleh, gelagat sekumpulan pelajar berbangsa Melayu ‘ralik’ belajar beberapa perkataan dalam bahasa Tamil sempat dirakamkan.
“Cikgu suruh rehat, budak Melayu semua ni semangat nk belajar bahasa Tamil dekat kawan dia, tengok apa dia belajar tu, penangan lagu Zubir Khan lah ni,” katanya.
‘Naan unnai kadhalikiren’, yang bermaksud saya cinta kamu, merupakan perkataan pilihan yang dipelajari pelajar terbabit lengkap dengan cara sebut dan tulis dalam bahasa rumi.
Meninjau ke ruang komen, rata-rata pengguna mengakui turut terharu dengan persahabatan berbilang kaum antara pelajar terbabit.
“Terima kasih kerana menyatukan kami tanpa mengira kaum dan agama, susah dah nampak suasana macam ini sekarang, sana sini gaduh racist (perkauman) saja,”komen Sujin.
“Inilah yang kita panggil sebagai keharmonian, tidak kira bahasa apa yang dipelajari, atau di mana ia dipelajari, asalkan mereka semua bersatu dan berseronok,” kata seorang pengguna.
“Saya pun pernah ajar kawan Melayu bahasa Tamil, mereka terlalu seronok kalau pandai cakap slang (loghat) Tamil,” ujar Sushmeetha.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat 1.5 juta jumlah tontonan, 75.2 ribu tanda sukaan, 962 komen dan 1,182 perkongsian. – KOSMO! ONLINE
@salenasalleh Cikgu suruh rehat, budak melayu semua ni semangat nak belajar bahasa tamil kat kawan dia..tengok ape dia belajar tu🤣 penangan lagu @Zubir Khan la nii…hahaha.. #iloveyou #bahasatamil #fyp ♬ Funny – Gold-Tiger