PETALING JAYA – Setiap kali menjelang sambutan lebaran, selain lagu raya orang ramai juga ternanti-nanti iklan-iklan hari raya yang kreatif dan menyentuh perasaan.
Dalam memeriahkan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan satu filem pendek berjudul Korban Kasih yang bertemakan pengorbanan.
Selain menampilkan beberapa nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Ellie Suryati dan Razman Mahayuddin, ia turut mengetengahkan beberapa pelakon baru yang sedang meningkat naik.
Selain secara tidak langsung membawa penonton meneroka perkhidmatan-perkhidmatan serta produk-produk yang disediakan oleh KPKT, turut mencuri perhatian adalah watak ‘wira merah’, Adha, 27, yang kerap kali mendahulukan orang lain berbanding diri sendiri.
Biarpun dalam humor, filem pendek berdurasi lapan minit turut diselitkan dengan elemen-elemen ‘air mata’ yang menyentuh perasaan dengan kesudahan di luar jangkaan.
Filem pendek ini telah disiarkan di semua platform media sosial rasmi KPKT iaitu Facebook, Instagram, X, TikTok dan Youtube. – KOSMO! ONLINE