BERBICARA tentang buah pinggang ataupun ginjal, ia merupakan sepasang organ di dalam tubuh manusia yang mempunyai fungsinya tersendiri.
Fungsi utamanya adalah untuk membuang bahan kumuh dari badan, mengawal asid dalam darah, menghasilkan hormon dan lain-lain lagi.
Namun begitu, organ itu juga tidak terlepas daripada sebarang masalah dan ada pesakit yang didiagnosis berhadapan dengan penyakit kegagalan buah pinggang.
Pakar Perunding Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr. Wong Hin Seng berkata, terdapat dua jenis kegagalan buah pinggang iaitu penyakit ginjal kronik (CKD) dan kecederaan ginjal akut (AKI).
Menurutnya, AKI jarang diperkatakan dan pesakit yang berhadapan dengan masalah ini mempunyai peratusan yang tinggi untuk dirawat dan pulih.
“Jika AKI ini dapat dikesan awal dan rawatan yang segera dan tepat diberikan, fungsi ginjal berpeluang untuk sembuh.
“Kebiasaannya masalah ini berlaku kerana radang ginjal, batu karang, pengambilan bahan toksik kepada ginjal misalnya sesetengah jenis ubatan dan bahan suplemen, serta lain-lain lagi,” katanya.
Tambah beliau, jika AKI lambat dikesan dan tidak dirawat dengan cepat dan tepat, kerosakan buah pinggang akan kekal and seterusnya menjadi CKD.
Mengulas lanjut, Dr. Hin Seng berkata, walaupun bukan semua AKI dapat dirawat sepenuhnya, namun semua pesakit yang mempunyai AKI harus mendapat rawatan daripada pakar nefrologi secepat mungkin supaya risiko AKI berubah menjadi CKD dapat dikurangkan.
Apabila berlaku CKD, fungsi ginjal tidak akan sembuh dan mungkin terus rosak sehingga tahap yang memerlukan dialisis atau transplan. Maka adalah sangat penting untuk mengesan AKI sebelum ia menjadi CKD.
Strategi rawatan juga berbeza kerana objektif rawatan CKD adalah untuk memperlahankan kerosakan ginjal supaya pesakit tidak perlu menjalani dialisis pada hayat ini.
Ada beberapa strategi yang boleh dilakukan supaya kerosakan buah pinggang dapat dilambatkan. Ini termasuk kawalan tekanan darah dan kencing manis dengan baik serta pengambilan ubatan yang bersesuaian.
Pengambilan ubatan dan suplemen yang mungkin menyebabkan toksik pada buah pinggang juga perlu dihentikan.
“Walaupun dengan menggunakan semua strategi sedia ada, keadaan buah pinggang sesetengah pesakit masih terus rosak sehingga tahap akhir.
“Pada masa ini, dialisis adalah salah satu rawatan yang dapat membantu mengeluarkan bahan-bahan kumur daripada badan dengan menggunakan mesin,” jelasnya.
Namun begitu, dialisis ini hanya dapat mengganti fungsi ginjal antara 10 hingga 15 peratus sahaja. Malah, kualiti dan kesejahteraan hidup pesakit yang menjalani dialisis juga akan berkurangan.
Oleh itu, Dr. Hin Seng menegaskan bahawa transplan buah pinggang adalah pilihan rawatan terbaik untuk kegagalan ginjal tahap akhir.
Menurutnya, transplan buah pinggang amat disokong kerana transplan secara teori akan menggantikan 50 peratus fungsi ginjal.
“Transplan adalah kaedah terbaik kerana ia bukan hanya menggantikan fungsi pembuangan bahan kumuh tetapi turut menggantikan fungsi lain termasuk mengeluarkan hormon dan lain-lain lagi,” terang Dr. Hin Seng.
Tambahnya, kualiti hidup pesakit yang menjalani transplan juga akan bertambah baik dan mereka boleh hidup normal seperti orang lain dengan melakukan pelbagai aktiviti. Melalui transplan buah pinggang ini jangka hayat pesakit juga akan bertambah.
Sumber buah pinggang untuk transplan adalah melalui pendermaan organ daripada penderma yang masih hidup dan juga yang telah mati otak.
Bagi penderma hidup, saringan dan pemeriksaan yang komprehensif akan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan penderma kekal sihat dan dapat hidup normal selepas menderma buah pinggangnya.
“Kita juga cuba memastikan penderma dapat hidup dengan baik seumur hidup tanpa dapat kegagalan ginjal selepas menderma.
“Jika seseorang itu berisiko tinggi untuk mengalami kegagalan ginjal tahap akhir, sebagai contoh penderma yang mempunyai penyakit kencing manis, individu tersebut tidak layak untuk menderma buah pinggang,” jelas Dr. Hin Seng.
Tambahnya, satu lagi sumber pemindahan buah pinggang adalah daripada penderma yang telah meninggal dunia iaitu penderma yang telah mati otak.
Penderma mati otak yang biasa diterima adalah mangsa kemalangan jalan raya dan pesakit angin ahmar yang serius di mana otak pesakit tidak dapat berfungsi lagi tetapi organ lain masih lagi boleh berfungsi.
Berdasarkan bilangan transplan yang dijalankan, kesedaran pendermaan organ di Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang amat menggalakkan.
“Tahun lalu kita melakukan 162 transplan untuk penderma hidup dan 77 untuk penderma yang telah mati otak.
“Ini bermakna jumlah keseluruhan daripada kedua-duanya melebihi 200 dan ia lebih tinggi berbanding 10 tahun lalu yang kurang daripada 50 bagi kedua-duanya.” jelas beliau.
Sebagai salah sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC baru-baru ini telah disenaraikan dalam 250 hospital teratas dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024.
Pusat perubatan itu turut dilengkapi dengan 28 Pusat Kecemerlangan yang turut merangkumi Pusat Buah Pinggang dan Dialisis serta Pusat Transplan (buah pinggang, kornea, koklea, sumsum tulang dan sel stem). -KOSMO! ONLINE