LIPIS – Seorang remaja lelaki lemas di sebuah bekas lombong emas selepas keluar memancing di lombong berkenaan dekat Jalan Sungai Taban, Kampung Merapoh di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mayat mangsa, Muhammad Adam Harris Mohd Azman,18, ditemukan pada pukul 2.50 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu keluar memancing bersama sepupunya ke kawasan bekas lombong emas berkanaan kira-kira pukul 7 malam semalam.
“Ketika sedang memancing mata joran mangsa telah terputus dan mangsa telah bertindak turun ke dalam lombong tersebut dan berenang pada jarak lebih kurang 12 meter dari daratan untuk mendapatkan mata joran.
“Semasa mangsa sedang berpatah balik ke darat mangsa kelihatan tidak terdaya lalu lemas dan tenggelam,” katanya di sini hari ini.
Katanya pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat dan mayat mangsa ditemukan pada pukul 2.50 pagi tadi oleh pasukan penyelamat.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Merapoh pada pukul 3 pagi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE